Sunday, December 12, 2010

Hospital swasta mesti telus perjelas caj rawatan


CAJ rawatan hospital swasta yang tinggi bukan isu baru diketengahkan media, malah sebelum ini banyak rungutan dan aduan membabitkan caj tidak munasabah dipaparkan. Ketua Pengarah Kesihatan yang juga Presiden Majlis Perubatan Malaysia (MMC), Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam jawapannya kepada wartawan Edisi Mingguan, FAIZA ZAINUDIN menjelaskan mengapa keadaan itu terjadi.

ADAKAH benar dakwaan orang ramai mengenai caj rawatan dan ubat hospital swasta mahal, tidak munasabah dan melampau walaupun perkhidmatan tidak jauh berbeza dengan hospital kerajaan?

Caj rawatan dan ubat di hospital swasta berbeza daripada caj hospital kerajaan antaranya kerana ketiadaan subsidi. Caj rawatan dan ubat hospital swasta juga boleh berbeza mengikut kemudahan disediakan, lokasi dan kepakaran. Secara amnya, bayaran profesional dikenakan doktor dikawal oleh Jadual Ke-13 kepada Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006. Caj lain hospital swasta ialah bayaran penginapan, sewa peralatan dan kemudahan seperti bilik bedah dan alat guna pakai atau pakai buang termasuk ubat yang belum dikawal buat masa ini. Antara Januari hingga Oktober lalu, Kementerian Kesihatan menerima 28 aduan mengenai caj melampau dikenakan pihak swasta dan semakan atau hasil siasatan ke atas semua aduan mendapati 16 atau 57.1 peratus daripadanya berasas. Kementerian juga mendapati 59.6 peratus aduan secara keseluruhannya membabitkan dakwaan caj melampau. 

Ada juga mendakwa hospital swasta memberi ubat atau produk kesihatan tambahan yang tidak perlu kepada pesakit dan menggunakan status pakar untuk menaikkan caj sedangkan yang merawat itu ialah doktor sambilan dari hospital kerajaan.

Hospital swasta tidak berhak mengarah doktor yang merawat, memberi ubat atau produk kesihatan tambahan kepada pesakit. Preskripsi atau pemberian ubat adalah mengikut pertimbangan doktor bagi kepentingan pesakit dan berdasarkan etika profesional kedoktoran. Pemberian ubat tambahan yang tidak berkenaan atau polifarmasi adalah tidak perlu, malah boleh memudaratkan pesakit. Bayaran profesional dikenakan doktor yang merawat sama ada bertugas sepenuh masa di hospital swasta atau doktor sambilan mahupun lokum dari hospital kerajaan, hendaklah tidak melebihi apa yang diperuntukkan di bawah Jadual Ke-13 kepada Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Apakah nisbah pesakit atau mereka yang ingin mendapat rawatan di hospital kerajaan berbanding hospital swasta.
Kementerian tiada data bilangan atau nisbah pesakit yang ingin mendapat rawatan di hospital kerajaan berbanding hospital swasta. Bagaimanapun, pada 2009, kemasukan ke 130 hospital kerajaan (33,083 katil) adalah 2,130,784 atau 2.6 kali lebih banyak berbanding 828,399 kemasukan ke 209 hospital swasta (12,216 katil dan respons 97.1 peratus).

Apakah faktor menyebabkan kos rawatan di hospital swasta tinggi.
Antara faktor yang boleh menyebabkan kos rawatan di hospital swasta lebih mahal ialah kos operasi dan penyelenggaraan yang tinggi; kemudahan canggih dan terkini bertaraf lima bintang ke atas; bayaran tatacara perubatan atau pembedahan dipecahkan dan dikenakan bayaran berbeza; caj berganda; bil terperinci di mana setiap item digunakan, sewa peralatan dan kemudahan lain dikenakan caj berasingan; bayaran perkhidmatan seperti jururawat serta bayaran alat guna pakai atau pakai buang dan ubat yang lebih mahal atau berganda daripada harga pasaran.

Apakah usaha kerajaan dalam meneliti atau memantau keadaan ini bagi mengawal caj perubatan yang dikenakan hospital swasta.
Dalam mengawal kadar caj perubatan hospital swasta, kerajaan mengambil inisiatif berikut;
·  Memastikan hospital swasta mempamerkan pernyataan dasar mengenai tatacara bil perubatan dan hak pesakit untuk mendapat maklumat rawatan dan jagaan perubatan pesakit di bahagian yang mudah dilihat. Ini termasuk hak pesakit untuk mendapat maklumat mengenai caj dianggarkan bagi perkhidmatan yang lazim dikenakan dan juga caj yang tidak dijangka apabila diminta oleh pesakit sebelum jagaan atau rawatan dimulakan;
·  Memastikan hospital melaksana tatacara ketidakpuasan hati dengan memastikan semua ketidakpuasan hati termasuk aduan mengenai caj hospital yang melampau dikendalikan dengan baik;
·  Menugaskan satu unit mengendali ketidakpuasan hati daripada semua pihak mengenai kemudahan dan perkhidmatan termasuk aduan mengenai caj melampau;
·  Mengadakan perbincangan awal untuk mengawal beberapa bayaran dikenakan hospital swasta selain bayaran profesional; dan
·  Menggalakkan hospital swasta memberi sumbangan sosial dan kebajikan termasuk menyediakan dana khas untuk pesakit atau memberikan diskaun bagi bayaran keseluruhan yang dikenakan ke atas pesakit. 

Bagaimana perkembangan perbincangan menyeluruh dengan semua pemilik hospital swasta negara ini berhubung kos perubatan yang dikatakan terlalu tinggi.
Beberapa perbincangan dengan Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) yang mewakili sebahagian besar hospital swasta yang dilesenkan dijalankan sejak awal pelantikan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Kesihatan. Kali terakhir perbincangan diadakan pada Jun lalu dengan APHM diminta merangka jadual bayaran bagi mengawal beberapa komponen caj hospital selain bayaran profesional. Langkah juga sedang diambil untuk menyemak semula Jadual Ke-13 bagi memastikan bayaran profesional yang boleh dikenakan oleh doktor tidak disalah tafsir atau disalah guna bagi mengelak caj berlebihan.

Apakah usaha pesakit sebagai pengguna dalam usaha mendapat penjagaan kesihatan yang berkualiti.
Selain inisiatif yang diambil pihak kerajaan dalam mengawal caj hospital swasta, setiap pesakit juga mesti mengetahui hak mereka. Pesakit digalak berbincang secara terperinci dengan doktor mengenai jangkaan kos dan prosedur yang akan dijalankan termasuk kos rawatan di unit jagaan intensif (ICU) atau unit jagaan koronari (CCU) jika berlaku komplikasi. Pastikan pesakit, jika pencarum premium, tahu mengenai kelayakan insurans yang ditandatangani seperti had siling liputan insurans serta kriteria insurans. Selain itu, pesakit perlu tahu tahap kemampuan membayar dan perlu bertanya caj dianggarkan bagi perkhidmatan jagaan kesihatan yang akan diberikan.

Sumber: Berita Harian Online

Ramai hutang kad kredit, bank untuk jelas kos perubatan swasta tinggi

KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit atau pinjaman bank untuk membayar kos perubatan yang tinggi di hospital swasta kini menjadi punca utama kegagalan pembayaran balik pinjaman bank dan kad kredit oleh individu.

Mengikut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) penggunaan kad kredit tidak terkawal kini bukan lagi menjadi faktor utama bagi masalah kegagalan pembayaran balik pinjaman. 

Sebaliknya, badan yang menguruskan RM4.8 bilion hutang tidak berbayar (NPL) membabitkan 50,361 individu itu mendapati pembiayaan kos rawatan dan perubatan yang tinggi ketika ini mendorong individu untuk berhutang sehingga di luar kemampuan.

Ketua Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan, berkata kebanyakan individu yang dirujuk kepada Program Pengurusan Kredit (PPK) AKPK menjelaskan, mereka lebih cenderung mendapatkan perkhidmatan rawatan dan perubatan yang dikatakan lebih baik di hospital swasta berbanding di hospital kerajaan walaupun ia membabitkan kos besar.

“Setakat Oktober lalu, 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman langsung bank atau kad kredit yang dirujuk kepada AKPK adalah perbelanjaan perubatan tinggi disebabkan kos sara hidup semakin meningkat.
“Penggunaan kad kredit tidak terkawal tidak lagi menjadi faktor utama kegagalan seperti pada dua atau tiga tahun lalu,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau berkata, selain kos perubatan tinggi, punca lain yang dirujuk kepada agensi itu ialah kelemahan pengurusan kewangan (25 peratus), kegagalan perniagaan (13 peratus), kehilangan pekerjaan (12 peratus), manakala dua peratus akibat kegagalan pelaburan.

Penggunaan kad kredit tidak terkawal pula, katanya, hanya mewakili 15 peratus.
Katanya, hampir 70 peratus kes gagal membayar balik pinjaman itu adalah membabitkan penggunaan kad kredit, manakala 30 peratus lagi pinjaman peribadi serta sewa beli.

Daripada RM4.8 bilion NPL yang diuruskan AKPK ketika ini, Mohamed Akwal berkata, RM2 bilion membabitkan pinjaman perumahan diikuti kad kredit (RM1.1 bilion) serta sewa beli sebanyak RM713 juta.
Katanya, jumlah itu membabitkan kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan 135,805 individu yang datang ke AKPK untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling serta khidmat nasihat berhubung pengurusan kredit.

Beliau berkata, tahun ini saja 25,353 individu memohon khidmat nasihat serta bantuan AKPK dan hanya 13,017 dirujuk kepada program PPK, antaranya bagi penstrukturan semula pinjaman.

Bagaimanapun tahun lalu, katanya, 36,848 individu tampil dan 16,184 daripadanya mengikuti program berkenaan.

“Tahun lalu, lebih ramai mendapatkan bantuan daripada AKPK kerana krisis ekonomi yang melanda. Namun, mulai Oktober tahun lalu, keadaan ekonomi mula pulih. Pengurangan individu ini menunjukkan keadaan ekonomi kita semakin baik dan mereka juga ke arah pengurusan kewangan yang baik,” katanya.
Setakat Oktober lalu, sebanyak 423 kes membabitkan pinjaman berjumlah kira-kira RM12 juta berjaya diselesaikan AKPK, berbanding 143 kes dengan jumlah pinjaman RM3.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.

“Kami menyelesaikan kira-kira 40 kes sebulan bayaran balik pinjaman kepada bank kerana kebanyakan yang mengikuti PPK sudah mampu menyelesaikan pinjaman lebih awal daripada tempoh maksimum 10 tahun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, mereka yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan adalah kumpulan paling teruk terjejas dengan masalah kewangan, mewakili kira-kira 40 peratus daripada 50,361 individu yang menyertai PPK.
Katanya, AKPK yang ditubuhkan sejak April 2006 setakat ini menganjurkan lebih 520 taklimat berhubung pengurusan kredit di seluruh negara.

Sumber: Berita Harian Online 

p/s:  Berita diatas sgt berkaitan dgn coretan awal sy berkenaan MEDICAL BANKCRUPTCY...sila baca ya utk maklumat lanjut =)

Hospital Swasta – Hampir pengsan bil hospital RM23,000

KUALA LUMPUR: Seorang kakitangan swasta dari Kluang, Johor, hampir pengsan apabila melihat bil perubatannya mencecah RM23,000 selepas 12 hari dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Batu Pahat kerana batuk selama dua minggu.

Roslan Husin, 46, mendakwa pakar di hospital swasta itu bagaimanapun gagal mengesan punca penyakitnya sejak dia ditahan di wad hospital itu 4 Febuari tahun lalu, selain mendakwa caj ubat dikenakan berjumlah RM9,852 mahal dan melampau.

Lebih menyedihkan, dia mendakwa kakitangan pusat perubatan swasta itu hanya memberitahu kos perubatannya melebihi jumlah maksimum perlindungan insuransnya iaitu RM15,000 selepas 11 hari ditahan di wad.
“Saya terkejut, marah dan hampir pengsan apabila diberitahu bil perubatan saya melebihi RM15,000 yang ditanggung syarikat insurans. Saya persoalkan kenapa hanya diberitahu selepas ia lebih daripada jumlah itu, kenapa tak beritahu awal,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu.
Roslan berkata, dia pergi ke hospital swasta setelah dinasihatkan oleh doktor klinik panel syarikatnya kerana mereka gagal mengesan punca batuk dialaminya.

“Mereka periksa saya macam biasa, tidak buat apa-apa kecuali membuat imbasan x-ray dan masukkan wayar dalam hidung. Pakar di situ kata saya menghidap asma tetapi saya tak percaya, saya cuma batuk-batuk. Kemudian mereka datang dan beritahu bil perubatan saya mencecah RM23,000 menyebabkan saya terkejut,” katanya.

Dia tidak berpuas hati dengan caj yang dikenakan namun, pihak hospital yang gagal mengesan punca penyakit tetap memintanya tinggal di wad selama dua hari lagi.

“Saya tolak permintaan mereka menyebabkan doktor pusat perubatan pakar itu menulis surat untuk merujuk saya ke Hospital Kluang, tetapi doktor hospital kerajaan beritahu pada saya, kalau pakar pun tidak dapat kesan apa punca penyakit saya, tak guna untuk saya dimasukkan ke hospital kerajaan,” katanya.

Katanya, selepas keluar dari hospital swasta itu dia mencuba kaedah perubatan tradisional dan penyakitnya kini sembuh.

Isnin lalu, Berita Harian melaporkan 26 peratus daripada individu yang gagal membayar balik pinjaman bank dan kad kredit kerana menanggung beban hutang membiayai kos perubatan tinggi di hospital swasta.

Sumber: Berita Harian Online


p/s: Apakah persediaan anda utk hadapi semua ini?